Ketika ditemukan, kanak-kanak perempuan itu berdiri dalam ke­adaan menggeletar dan kelaparan apabila pintu rumah yang tidak ada bekalan elektrik dan air itu dibuka oleh polis.

Dia juga meminta makanan daripada Inspektor Hasmah Mustappa Ramdzan yang mengetuai operasi itu selepas mendapat laporan daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Murni yang mengesyaki sesuatu apabila kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah sejak Selasa lalu.

Namun begitu, bapanya hadir ke sekolah semalam bagi menuntut Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Ma­laysia RM100 untuk anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim (gambar) berkata, kanak-kanak itu hanya hadir pada hari pertama persekolahan pada 12 Januari lalu dalam keadaan lemah dan tidak terurus.

Menurutnya, pihak polis yang menerima laporan itu kemudiannya telah ke rumah mangsa petang semalam dan menyoal bapa mangsa yang berusia 34 tahun mengenai anaknya yang disyaki didera dan tidak hadir ke sekolah.

“Bapa mangsa yang bekerja sebagai pembantu pam di sebuah stesen minyak berhampiran menafikan dia mendera anak-anaknya namun mengubah pengakuan apabila didesak oleh polis.

“Lelaki itu kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah kosong yang dikunci. Polis kemudian membuka pintu sebuah bilik di rumah itu sebelum menemukan mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak bermaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahman, mangsa adalah anak tunggal suspek bersama isterinya yang berasal dari Indonesia dan memiliki lima lagi anak bersama isteri keduanya yang kini sarat mengandung.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kepala Batas sebelum dihantar untuk menerima rawatan lanjut di HSJ manakala bapanya ditahan reman hingga Isnin.

“Kita masih menunggu laporan hospital berkaitan kecederaan yang dialami oleh mangsa dan kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya," ujarnya.