Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa yang berusia 24 tahun melecur hampir 60 peratus di beberapa bahagian badan dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.

"Kejadian itu bermula apabila pasangan kekasih tersebut bertengkar di bilik tidur rumah suspek kerana mangsa mengesyaki teman lelakinya berusia 24 tahun itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Pertengkaran tersebut berlarutan sehingga mangsa dipukul di bahagian badannya menggunakan getah paip sebelum suspek bertindak menyimbah petrol dan menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Shamsul berkata kejadian itu turut disedari bapa lelaki terbabit yang pada waktu itu sedang tidur bersebelahan bilik suspek apabila beliau terhidu bau asap sebelum menemui mangsa.

Beliau berkata selain mangsa, suspek turut mengalami kecederaan apabila tangannya disambar api ketika membakar teman wanitanya.

"Pasangan terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang oleh bapa suspek untuk menerima rawatan.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan suspek telah ditahan di hospital pada hari yang sama (semalam)" katanya.

Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - BERNAMA