Mayat wanita dewasa tanpa identiti itu ditemui pada pukul 2.15 petang oleh orang awam dalam keadaan mengiring dan sudah mereput di tebing sungai tersebut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abdul Ismail berkata, setelah mayat tersebut dibawa keluar dari sungai oleh pihak bomba, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan siasatan.

"Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai sudah meninggal dunia antara tiga ke empat hari selain umur serta bangsa tidak dapat dikenal pasti.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua lilitan kain yang digunakan untuk menjerut leher si mati dan terdapat kesan plastik terbakar melekat pada seluar jeans biru dan baju berwarna coklat yang dipakai oleh mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mohd. Abduh berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mayat tersebut serta keadaan mayat dalam proses mereput.

Jelasnya, mayat dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

"Pakar Patologi Forensik telah dihubungi dan dimaklumkan akan menjalankan bedah siasat esok.

"Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes ini Asisten Superintenden K. Karthiggaibalan di talian 019-577 7221 untuk proses pengecaman mayat," katanya. - UTUSAN ONLINE