Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada seorang wanita yang merupakan pemilik premis berkenaan pada pukul 6.30 petang.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai mayat seorang wanita yang lengkap berpakaian dalam keadaan tergantung di dalam premis tersebut.

“Kejadian itu disedari oleh pemilik premis ketika mahu memeriksa bilik-bilik sewa di bangunan tersebut sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita berusia 30-an dalam keadaan tergantung.

“Pemeriksaan awal pada mayat wanita itu tidak menemukan sebarang perbuatan jenayah dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, premis tersebut mempunyai tujuh buah bilik sewa dan wanita itu tinggal di sebuah bilik bersama seorang lelaki Myanmar yang dipercayai suaminya.

Katanya, polis juga telah menahan sementara lelaki terbabit yang cuba membuat kacau semasa pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga memperoleh laporan bedah siasat.

“Kita akan memeriksa identiti mangsa tersebut menerusi pihak Kedutaan Myanmar atau Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya. - UTUSAN ONLINE