Mayat pekerja restoran berusia 30 tahun itu ditemukan sepasukan polis pada pukul 7 malam selepas mendapat aduan daripada penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, mangsa dilaporkan tidak hadir bekerja di restoran berdekatan sejak tiga hari lalu dan dicari maji­kannya di rumah berkenaan.

Ujarnya, sejurus memasuki rumah dua tingkat itu, majikan mangsa terhidu bau busuk yang datang dari sebuah bilik di tingkat atas.

“Pemeriksaan awal oleh majikan mangsa gagal me­nemukan mayat mangsa dan dia kemudian menghubungi polis.

“Pasukan polis yang memeriksa rumah tersebut menemukan mayat mangsa di bawah katil. Keadaan di bawah katil dipercayai berselerak dan mayat mangsa telah mula membusuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismadi, siasatan awal mendapati wanita ber­kenaan dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam atau sejak tiga hari lalu.

“Tiada kesan pergelutan ditemukan di dalam rumah mangsa. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan,” katanya.