LOKASI mayat Goh Geok Leng ditemukan di Kampung Sri Purnama, Johor Bahru, Johor Bahru, malam kelmarin.

Mayat Goh Geok Leng, 43, yang merupakan pemilik sebuah syarikat menjual lori ditemukan dalam keadaan mulut disumbat dengan kain serta terikat kaki dan tangan pada sebuah kerusi di dalam lubang tersebut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kehilangan Geok Leng disedari pekerjanya selepas mendapati mangsa tiada di tempat kerja, namun kesemua barang milik­nya masih ada di dalam pejabat.

Menurutnya, pekerja itu membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati majikannya telah pergi ke belakang pejabat sebelum menghilangkan diri.

Ujarnya, dia kemudian menemukan kasut mangsa dan membuat laporan polis pada pukul 7.30 malam kerana mengesyaki majikannya telah diculik.

“Pemeriksaan di kawasan kontena di bahagian belakang pejabat dan bengkel yang merupakan tempat tinggal pekerja menemukan sebuah lubang yang tertutup di bahagian atas.

“Di situlah mayat mangsa ditemukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shahurinain memberitahu, pihaknya telah menahan dua pekerja mangsa yang merupakan warga Myanmar, masing-masing berusia 20 dan 39 tahun bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kedua-dua sus­pek telah direman bermula hari ini hingga 20 April ini.

“Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak puas hati dengan layanan mangsa terhadap mereka dan kita sedang memburu seorang lagi suspek dipercayai warga Indonesia,” katanya.