Mangsa yang maut dikenali sebagai Goh Tian Hing, 44,  yang merupakan pemandu kereta berkenaan, ibu pemandu, Saw Yeng Fui, 65, dan bapa pemandu, Goh Soay Sing, 68 tahun.

Tinjauan wartawan Utusan Malaysia ke Jabatan Forensik Hospital Serdang mendapati suasana pilu menyelubungi ahli keluarga mendiang yang masih trauma dengan kejadian.

Ahli keluarga yang hadir juga enggan ditemuramah wartawan dan media turut dinasihatkan agar tidak mengganggu ahli keluarga yang hadir di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Serdang.

Proses bedah siasat difahamkan diselesaikan semalam dan mayat mendiang difahamkan akan dibawa pulang ke rumah mereka di Kajang. Mayat ketiga-tiga mangsa akan disemadikan pada Sabtu ini di Taman Memorial Nirvana, Semenyih. 

Kelmarin, tiga beranak rentung selepas kereta jenis BMW X3 yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbakar dalam kejadian dekat Sungai Long, Kajang.

Difahamkan ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Anggerik Emas, Kajang selepas menghantar seorang lagi ahli keluarga mereka ke stesen pengangkutan awam berhampiran.

Siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian dan cuaca baik ketika kemalangan manakala kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE