Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang ketika mangsa, N. Ananthan yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer 2.0 GT berkonvoi bersama sembilan kenderaan lain menuju ke Port Dickson.

Ujarnya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu lelaki itu dari arah Seremban dan berada di lorong paling kanan telah hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak keluar dari kenderaannya yang remuk di bahagian hadapan, " katanya di sini hari ini.

Zainudin berkata, mayat mangsa yang berasal dari Taman Sri Muda, Shah Alam telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE