Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Ashmon Bajah berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat yang identiti belum dapat dikenal pasti mendapati, punca kematian akibat jerutan di leher.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat itu pada 5.15 petang sebelum sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kota Tinggi dan Balai Polis Penawar dikejarkan ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, keadaan si mati berpakaian kemas iaitu berkemeja tangan panjang berwarna biru, berseluar berwarna gelap, memakai tali pinggang dan hanya berstoking.

“Bedah siasat telah dilakukan dan punca kematian disebabkan jerutan di leher,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, identiti lelaki itu masih tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di tubuh badan mangsa dan di tempat kejadian.

Beliau berkata, polis juga telah menyemak senarai penyewa Chalet Bayu Balau dan mendapati tiada penyewa lelaki warga asing di chalet berkenaan.

“Pihak polis masih lagi meneruskan siasatan bagi mengesan suspek terlibat,” katanya.

Ashmon berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, tambahnya, polis turut memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh hubungi Asisten Superitenden Fauzi Kamarudin di talian 07-8831222 atau 019-6529472 atau mana-mana balai berhampiran. - UTUSAN ONLINE