Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan awal mendapati mayat dipercayai seorang lelaki ditanam separuh badan dalam tanah dan sudah mula mereput apabila bahagian muka bertukar menjadi hitam.

“Mayat lelaki itu ditemukan oleh seorang lelaki dan ditanam di kebun durian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari jalan besar. Setelah digali, didapati mayat itu berpakaian lengkap berbaju T merah dan berseluar jeans pendek.

“Turut ditemukan berhampiran mayat ialah ‘jumper’ bateri kereta dan mangsa dipercayai sudah mati antara satu ke dua minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa maut disebabkan kecederaan teruk di bahagian dada akibat objek tumpul, kesan jerutan, beberapa kesan lebam di badan dan tanda suntikan BCG di lengan kiri.

“Si mati juga memakai satu anting-anting berlogo Nazi di telinga kiri serta cincin jenis besi tahan karat di jari hantu sebelah kanan dengan catatan 'forever love'.

“Mangsa dipercayai warga tempatan dan berusia antara 18 hingga 40 tahun, namun bangsa tidak dapat dikenal pasti. Mengikut keterangan doktor, suspek berkemungkinan telah memukul mangsa dengan menggunakan senjata tumpul di dada dan belakang badan,” katanya.

Menurutnya, susulan itu kes tersebut kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.