Mayat mangsa itu ditemukan mengalami kecederaan di bahagian mata kiri, lebam di pipi kiri, luka di telinga kiri serta kesan jerutan di leher.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, mangsa dipercayai telah pergi ke tempat kejadian untuk memancing di kawasan kolam tersebut yang tidak berpagar.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada pukul 12.20 tengah hari dan joran pancing milik mangsa turut didapati telah dipatahkan.

"Menurut bapa mangsa, mangsa keluar dari rumah kira-kira pukul 1.30 petang semalam untuk pergi memancing. Namun begitu, dia hanya menyedari anaknya masih belum pulang pada pada pukul 3 pagi hari ini.

"Sehubungan itu, pada pagi ini, bapa mangsa mula mencari anaknya di kawasan lombong tersebut. Dengan bantuan anggota Balai Polis Kanthan Baru, motosikal mangsa dapat dikesan sebelum mangsa ditemukan berada di bawah semak kolam tersebut dengan hanya kelihatan kaki," katanya di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, tiada sebarang senjata ditemukan di lokasi kejadian dan tiada saksi yang melihat insiden tersebut setakat ini kerana kawasan kolam berkenaan agak sunyi dan tidak berpenghuni.

Beliau berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan proses bedah siasat akan dilakukan pagi esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE