Lebih misteri apabila kereta Perodua Myvi dipercayai milik mangsa, Mohd. Syafiq Mahar Affandi, 33, ditemukan terbabas empat kilometer dari tempat mayatnya ditemukan.

Menurut sumber, mayat mangsa ditemukan seorang peniaga kira-kira pukul 7 pagi dan lelaki itu melaporkan penemuan kepada pihak polis.

Ujarnya, Perodua Myvi milik mangsa pula ditemukan di Jalan Desa Sri Jenaris iaitu empat kilometer dari hentian bas di Sungai Kantan.

“Kereta berwarna putih itu dilihat terbabas dan melanggar kaki lima perhentian bas di Jalan Desa Sri Jenaris.

“Saksi melaporkan bahawa usaha untuk mengesan mangsa pada awalnya gagal dan hanya mengetahui mengenai mangsa yang telah meninggal dunia melalui aplikasi WhatsApp penduduk pada pukul 9 pagi,” ujarnya.

Sumber menjelaskan, pemeriksaan yang dilakukan pada fizikal si mati mendapati tiada kesan kecederaan akibat unsur jenayah dan hanya terdapat luka kecil di lutut kiri dan kanan mangsa.

“Tidak diketahui bagaimana mayat mangsa berada di hentian bas sedangkan keretanya terbabas sejauh empat kilometer.

“Kes masih disiasat dan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya. - UTUSAN ONLINE