Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Raub Selamat berkata, bungkusan itu ditemukan terapung-apung sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk urusan bedah siasat.

Beliau berkata, perkara itu terbongkar apabila kakitangan HDS menghubungi pihak polis yang curiga apabila mendapati sepasang kekasih mendapatkan rawatan di situ awal pagi ini.

"Pihak hospital curiga apabila mendapati remaja perempuan berusia 19 tahun itu mengalami pendarahan teruk di bahagian kemaluannya seperti baru selepas bersalin.

"Hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 21 tahun mengaku bayi lelaki itu dilahirkan kekasihnya sebelum memasukkannya ke dalam plastik lalu membuangnya dalam sungai tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Katanya, suspek lelaki kemudian ditahan pukul 4 pagi di HDS dan siasatan mendapati bayi tersebut dipercayai dilahirkan di rumah keluarga wanita itu di sekitar kawasan Paya Pulai di sini.

Menurutnya, pihak polis dimaklumkan bayi tersebut dibuang ke dalam sungai kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi. - UTUSAN ONLINE