Salah seorang kakitangan stesen minyak tersebut yang enggan dikenali memberitahu, bunyi air melimpah di tandas lelaki itu disedari pada kira-kira pukul 6.40 pagi.

“Pada mulanya kami sangka paip air tidak ditutup tetapi rupanya air tangki pam tandas yang melimpah.

“Bila periksa kami terkejut kerana nampak mayat bayi dalam keadaan masih bertali pusat di dalam tangki pam tersebut,” katanya.

Menurutnya, perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada pemilik stesen dan satu laporan polis dibuat.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew berkata, pihaknya kini sedang mengesan seorang wanita yang dilihat di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak tersebut.

“Kita sedang kesan wanita itu bagi mengesahkan sama ada dia suspek atau sebaliknya,” ujarnya.