Utusan Online difahamkan suspek yang dalam buruan polis dikatakan mempunyai kaitan dengan beberapa kes culik dan pembunuhan termasuk yang berprofil tinggi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi setelah sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Lelaki berusia lewat 30-an itu melepaskan beberapa das tembakan sebelum anggota polis bertindak balas.

Suspek yang terkena tembakan terjatuh di atas lantai simen dalam sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan itu dan meninggal dunia di lokasi.

Polis turut menemukan sepucuk pistol separuh automatik yang masih mempunyai sebutir peluru di dalamnya bagi membantu siasatan.

Mayat suspek kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman (HK) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihak polis. - UTUSAN ONLINE