Dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu, mangsa, L. Tirumal (gambar), 62, maut di tempat kejadian selepas cedera teruk di bahagian muka dan badan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, suspek berusia 69 tahun yang merupakan adik ipar mangsa itu telah tinggal bersamanya sejak sebulan lalu.

Menurutnya, sejak itu ke­dua-dua lelaki tersebut sering berselisih faham sehinggalah terjadi pergaduhan yang menyebabkan kematian mangsa.

“Kejadian pada awal pagi itu dikatakan bermula setelah mangsa mengejutkan adik iparnya daripada tidur dan menghalau keluar lelaki itu dari rumahnya.

“Ini menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka sebelum suspek disyaki memukul mangsa dengan menggunakan batang penyapu sehingga patah di depan dan belakang badan serta seluruh muka,” katanya.

Mohd. Ali memberitahu, semakan terhadap suspek mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau bersabit kes memiliki barang curi selain pernah ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan pada tahun 90-an.

Ujarnya, mangsa juga dikesan mempunyai enam rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.