Namun kematian wanita berusia 25 tahun itu hanya di­sedari suaminya lewat malam tadi dan lelaki berkenaan menghubungi polis pada pukul 2 pagi bagi memaklumkan kejadian.

Suspek yang ditahan sepasukan anggota polis dalam Op Cantas 20 minit kemudian mengaku bergaduh dengan isterinya pada pukul 5 pagi semalam sebelum dia keluar dari rumah bersama anak mereka yang berusia empat tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek turut me­ngaku menolak mangsa sehingga jatuh ke lantai selepas dipercayai mendapat tahu isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sejak tiga minggu lalu.

“Suspek mengaku bergaduh dengan isterinya pagi semalam sebelum menolak mangsa ke lantai dan dia keluar dari rumah bersama anak mereka sebelum kembali ke rumah itu pada pukul 10 malam tadi dan me­nemukan mayat isterinya.

“Polis yang menjalankan siasatan me­nemukan mayat mangsa dalam keadaan terlentang di bilik tidur dengan lima kesan luka iaitu dua di bahagian bahu kanan, satu di bahu kiri, satu di leher dan satu di bahagian tangan kanan,” kata­nya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kedua-dua pasangan itu dipercayai te­lah berkahwin sejak dua tahun setengah dan memiliki seorang anak berusia empat tahun.

Jelasnya, polis turut menemukan sebilah pisau pemotong daging yang terdapat kesan darah di dalam sinki yang dipercayai digunakan untuk me­netak mangsa.