Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, sehingga kini tiada sebarang keterangan yang menunjukkan terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan terhadap anggota terbabit.

"Kita yakin dan percaya kejadian itu adalah perbuatan bunuh diri dan masih lagi menunggu hasil laporan daripada Jabatan Kimia.

"Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu masih dalam siasatan dan beranggapan lebih kepada isu peribadi yang menyebabkan dia bertindak sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian  dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di sini hari ini.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, mayat anggota polis berusia 29 tahun itu dijumpai pada pukul 6.15 pagi di tepi rumahnya berhampiran Balai Polis Pekan Baru.

Ketika ditemukan, anggota polis itu berada dalam keadaan tertiarap dengan kesan satu tembakan yang menembusi kepalanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Ahmad Adnan Basri dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Ahmad Adnan, 48, yang memangku pangkat Asisten Komisioner  mengambil alih jawatan daripada Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari yang bersara wajib berkuatkuasa Isnin ini. - UTUSAN ONLINE