R. Davadas
R. Davadas

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, R. Davadas, 59, dipercayai ditumbuk, ditendang, dipukul de­ngan sebatang kayu dan ditetak menggunakan sebilah parang tanpa belas kasihan sehingga maut.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, mayat mangsa ditemukan tertiarap di depan pintu bilik rumah pekerja ladang yang diduduki mereka dengan kesan kecederaan di bahagian muka, kepala, dada dan tangan kiri.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku apabila mangsa dan rakan serumahnya bergaduh selepas suspek tidak berpuas hati dengan makanan yang disediakan lelaki tersebut.

“Kerana tidak berpuas hati, suspek menumbuk, menendang dan memukul mang­sa dengan sebatang kayu serta me­netaknya menggunakan sebilah parang.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa patah sembilan tulang di rusuk kiri, 11 tulang di rusuk kanan, retak tulang hidung, tulang rahang, luka di tapak tangan kanan, patah tulang tangan kiri dan pendarahan dalam kepala,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zundin, mayat mang­sa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati.

Katanya, polis telah menahan suspek lelaki berusia 35 tahun tidak jauh dari tempat kejadian di ladang berkenaan semalam.

Beliau membe­ritahu, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk di bawah kesalahan berkaitan dadah.

“Kita percaya dapat menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang daripada 24 jam dengan tertangkapnya suspek yang kini ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan,” ujarnya.