Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, tangkapan tiga nelayan yang berusia antara 20 hingga 26 tahun itu susulan penahanan sebuah bot nelayan kelas C di 7.5 Batu Nautika Barat Daya Kuala Kedah.

“Terdapat tiga nelayan warganegara Thailand berusia antara 20 hingga 36 tahun berada di atas bot tersebut.

“Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, bot itu disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen iaitu permit kerja tamat tempoh di bawah Seksyen 8(b) Akta perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mahmad Faizal, pihaknya membawa bot nelayan yang mempunyai kira-kira 3,000 kilogram ikan pelbagai jenis ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah, di sini untuk tindakan lanjut.

“Oleh itu, Maritim Malaysia berharap orang ramai memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara ini.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut di talian 24 jam 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE