Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menahan bot kelas A itu kira-kira pukul 10.30 malam dipercayai menjalankan aktiviti selain dalam syarat lesen iaitu menunda siput dengan menggunakan sangkar besi.

“Tekong bot tersebut cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti pada waktu malam iaitu pukat hanyut.

“Namun hasil pemeriksaan lanjut, kita dapati bot tersebut menjalankan aktiviti selain dalam syarat lesen sedangkan bot tersebut hanya dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pukat hanyut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati seramai empat nelayan tempatan berusia dalam lingkungan 26 hingga 35 tahun berada di atas bot tersebut.

“Hasil daripada pemeriksaan lanjut mendapati bot kelas A tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen,” katanya.

Tambahnya, kesemua nelayan yang ditahan dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, APMM berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan segera melaporkan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di sepanjang perairan negara.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.