Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Timur berkaitan Tug Bot Star Sumatra bersama Barge Olympic Kandilo yang telah tiba dan bersauh tanpa kebenaran pada Ahad lalu.

 Menurutnya, kapal ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi dan kapal tersebut dikesan sedang bersauh kira-kira 0.5 batu nautika ke selatan muara Kuala Dungun.
 
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan awal mendapati kapal berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk bersauh. 

Malah katanya, semasa ditahan, kapal yang berdaftar di Tuvalu itu dinaiki  sembilan orang kru iaitu dua kru warganegara Malaysia manakala tujuh lagi warganegara Indonesia yang berumur  21 hingga 36 tahun.
 
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 49 1B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut. 

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. Tiga orang kru kapal dibawa ke pejabat Zon Maritim Kemaman untuk siasatan selanjutnya," katanya di sini hari ini.
 
Tmbahnya, Maritim Malaysia Negeri Terengganu dan Zon Maritim Kemaman akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan undang-undang dan keselamatan pengguna maritim di perairan negara dipatuhi. - UTUSAN ONLINE