Bot nelayan warga Vietnam itu ditahan selepas dikesan menceroboh perairan negara di lokasi lebih kurang 52 kilometer dari Pulau Tioman pada pukul 12.15 tengah hari.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, hasil pemeriksaan mengesaki bot berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu KNF 7213.

Katanya, bot itu juga membawa sotong dan pelbagai jenis ikan yang dianggarkan seberat 12 tan metrik, dipercayai ditangkap dalam perairan negara dan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga lebih tinggi.

"Kesemua 14 nelayan Vietnam berusia lingkungan 18 tahun hingga 50 tahun dan bot ditahan serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE