Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, PATI terbabit diberkas melalui Op Khas Pagar Laut pada pukul 9.36 malam.

“Mereka cuba menyeludup masuk melalui jalan tidak diwartakan di kedudukan kira-kira 1.3 kilometer dari Pulau Perjudi, Port Dickson.

“Kesemua yang ditangkap itu termasuk tekong berusia antara 24 hingga 47 tahun. Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amran berkata, aktiviti PATI itu dikesan hasil maklumat risikan yang mendapati pergerakan masuk bot mencurigakan dari Indonesia menuju ke Perairan Tanjung Selamat dekat sini.

Katanya, bot peronda Maritim Malaysia kemudian berjaya mengesan dan menahan bot fiber tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin sangkut 60 kuasa kuda itu.

“Semasa ditahan, terdapat 11 orang termasuk tekong dan dua wanita berada dalam bot itu dan kesemuanya warga Indonesia,” katanya.

Jelas beliau, kesemua PATI terbabit termasuk bot yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Kuala Linggi untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, bot itu dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk PATI melalui jalan tidak sah dari Dumai, Indonesia serta disyaki didalangi sindiket warga tempatan dan asing yang sudah lama menetap di negara ini. - UTUSAN ONLINE