Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kedua-dua kapal berkenaan iaitu Teratai 6777 dan CP 798 dikesan berlabuh pada kedudukan 0.3 batu nautika dari Pantai Klebang di sini oleh anggota penguat kuasa Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, ketika ditahan, petugas dua kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal korek Teratai 6777 tersebut didaftarkan di Micronesia manakala kapal CP 798 dari Mongolia masing-masing membawa tujuh dan dua kru.

“Kesemua kru kapal merupakan warga China dan mempunyai dokumen yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Amran berkata, kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan setakat ini pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes bagi kesalahan sama iaitu satu di perairan Melaka dan tiga lagi di Negeri Sembilan.

“Maritim Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di zon perairan negara ini bagi memastikan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan supaya menghubungi talian 06-3876730 yang beroperasi 24 jam. - UTUSAN ONLINE