Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menahan dua buah bot dengan 14 nelayan Vietnam dalam operasi kelmarin menemukan seekor penyu dan 40 kilogram anak ikan yu, dipercayai hasil tangkapan awal.

Pegarah Maritim Daerah Negeri Terengganu (DM9), Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, dalam operasi di perairan Pulau Redang, buat kali pertama, pihaknya merampas penyu jenis Agar dalam salah sebuah bot.

“Kita tidak menolak kemungkinan ia sengaja ditangkap ekoran nilai pasaran tinggi di negara seperti China, Vietnam dan Thailand, sebagai makanan esktoik dan perubatan tradisional,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, penyu yang telah mati ditemukan dalam petak simpanan ikan apabila pihaknya menahan sebuah bot dengan nombor pendaftaran tempatan bersma sembilan awak-awak warga Vietnam.

Sementara dalam bot pertama yang ditahan bersama lima nelayan, pihaknya menemukan 5,000 liter minyak diesel selain 40 kilogram ikan yu.

Katanya, semua nelayan yang berusia antara 16 hingga 48 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri berumur dalam lingkungan 16 hingga 48 tahun.

“Bot bersama peralatan yang dianggarkan bernilai RM1 juta akan dilucutkan hak oleh kerajaan,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE