Pengarah Zon Maritim Semporna, Leftenan Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, ia susulan daripada penahanan sebuah bot laju tanpa nombor pendaftaran di lokasi berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

Juragan bot tersebut bagaimanapun gagal ditahan apabila berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan sebaik sahaja melihat kehadiran pihak berkuasa.

“Bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan operasi di kawasan itu apabila terserempak dengan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Bot tersebut telah ditahan dan hasil pemeriksaan menjumpai 20 tong berisi petrol yang berharga RM11,800,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Amiludin berkata, bot berkenaan bersama barang rampasan telah dibawa ke jeti Kem Azumi, di sini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE