Jurucakap Maritim Malaysia berkata, bot jenis fiber berwarna biru sepanjang kira-kira 8 meter mempunyai nombor pendaftaran B202 itu dilaporkan dilarikan di Brunei sebelum dibawa ke perairan negeri ini.

Katanya, terdapat enam anak kapal warga Indonesia dipercayai terlibat melarikan bot berkenaan.

“Lokasi terakhir bot itu dikesan ialah di perairan Kuala Sibuti di sini pada pada pukul 10 pagi, semalam.

“Berkemungkinan bot itu dilarikan oleh warga asing terbabit untuk melakukan jenayah di perairan Sarawak,” ujarnya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurut jurucakap itu, penduduk kampung yang berasa curiga sempat merakamkan gambar bot dan anak kapal warga Indonesia yang menaikinya.

Beliau berkata, hasil siasatan, dua daripada suspek berjaya dikenal pasti berdasarkan kepada pasport yang dimiliki, manakala empat lagi memasuki negara ini secara haram.

Katanya, dua lelaki terbabit iaitu Abdul Mukti, 40, dan Ikon Sarikin, 40, dipercayai mempunyai kaitan dengan bot yang hilang itu.

“Siapa yang mempunyai maklumat mengenai bot ini boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Daerah Miri di talian 085-418204,” katanya. - UTUSAN ONLINE