Menurut MAQIS, daging dan produk babi itu kebanyakannya dibawa oleh penumpang dari China, Filipina dan Vietnam di LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelasnya, rampasan terbaharu adalah pada pukul 12 tengah hari semalam di KLIA2 membabitkan 18 kilogram daging babi oleh tiga pegawai penguatkuasa MAQIS.

“Pemeriksaan bagasi di laluan antarabangsa mendapati seorang warganegara Filipina membawa masuk daging babi walaupun larangan telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan kerana penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF).

“Tujuan larangan pengimportan ini adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut MAQIS, daging dan produk babi yang dijumpai akan disita dan dimusnahkan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit ASF dapat dicegah.

Tambahnya, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, daging babi proses seperti babi salai, sosej dan sebagainya.

“Virus ASF tidak akan menjangkiti manusia. Ia hanya menjangkiti babi sama ada babi peliharaan atau babi hutan. Penyakit ASF sangat mudah merebak dan mampu menyebabkan kadar kematian yang sangat tinggi sehingga 100 peratus dalam gerompok babi peliharaan. Ia boleh melumpuhkan dan seterusnya membinasakan industri ternakan babi dalam masa yang singkat,” jelasnya.

Jelasnya, perbuatan mengimport tanpa permit yang sah daripada MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.

“MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang diimport ke Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan, “ jelasnya. - UTUSAN ONLINE