Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian ter­sebut mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah melibatkan kumpulan ber­kenaan.

Bagaimanapun ujarnya, masih terlalu awal untuk pihaknya me­rumuskan motif kejadian dan siasatan dari pelbagai sudut sedang dilakukan.

“Motif sebenar hanya akan di­ketahui apabila suspek ditangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Latihan Amal Ex-Undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Kontinjen Sela­ngor di pekarangan Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Khamis lalu, orang ramai termasuk para ibu bapa pelajar yang mahu mengambil anak mereka di Sekolah Kebangsaan Sri Serdang terkejut apabila seorang lelaki di­tembak salah seorang daripada dua suspek yang menaiki motosikal di hadapan sekolah ber­kenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, mangsa yang berusia 30-an dilapor meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, mengulas me­ngenai Latihan Amal Ex-Undi itu, Mazlan memberitahu, ia adalah latihan kedua pihak kontinjen Se­langor bagi menghadapi PRU-14 yang melibatkan kira-kira 500 anggota dan pegawai daripada pelbagai bahagian serta jabatan.

“Seramai 16,000 anggota dan pegawai akan ditempatkan di semua daerah di negeri ini bagi memastikan kelancaran PRU-14.

“Dengan kekuatan anggota ini, kita bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sepanjang tempoh PRU-14,” ujarnya.