Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kebanyakan mereka bekerja sebagai pegawai IT, jurutera dan setiausaha syarikat yang berusia lingkungan antara 21 hingga 65 tahun.

Katanya, tanpa mengira identiti mangsa, mereka mudah menjadi penipuan scam sehingga mencecah nilai RM525,242.

“Bukan sahaja wanita, malah lelaki juga menjadi mangsa dengan direkodkan tujuh lelaki dan lima wanita yang terperdaya akibat penipuan ini.

“Modus operandinya mudah sahaja, mereka menerima panggilan telefon dengan mengatakan terdapat kes polis atau hutang bank, seterusnya meminta memindahkan sejumlah wang ke satu akaun lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz lagi, walaupun pihak polis sudah banyak kali memberi amaran mengenai penipuan itu, tetapi masih terdapat orang ramai mudah terpengaruh dengan panggilan telefon scam.

Katanya, mereka seharusnya tidak mudah panik apabila menerima panggilan daripada orang tidak dikenali dan terlebih dahulu melakukan semakan dengan pihak berkuasa.

“Bukan mudah mana-mana pihak termasuk polis sendiri mengarahkan untuk memindahkan wang, kerana ia perlu melibatkan surat atau notis mahkamah.

“Orang ramai perlu tegas untuk mengatakan tidak kepada mana-mana panggilan yang meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun,” katanya.

Katanya, siasatan kes scam di Daerah Sepang masih dijalankan termasuk bagi mengesan suspek terlibat di dalam penipuan ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya berjaya menumpaskan satu kumpulan yang menjadi dalang 11 kes pecah rumah membabitkan kerugian RM50,000 di sekitar Sepang sejak 2018.

Katanya, ia melibatkan penahanan tiga suspek warga tempatan termasuk seorang wanita pada 17 Mei lalu.

“Namun kami masih menjejaki dua lagi suspek suspek masih bebas iaitu Syed Ahmad Zaki Ahmad Zin, 39, dan Ahmad Eiman Razali, 23.

“Mana-mana orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaannya, boleh hubungi penolong pegawai penyiasat kes, Sub Inspektor Roselee Ibrahim menerusi talian 0138961912,” katanya. - UTUSAN ONLINE