Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Bukhori Saffiai berkata, pihaknya telah menerima dua laporan daripada dua pengadu berbeza memaklumkan menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai tuan Saiful dari Ibu Pejabat Polis Limbang.

Katanya, kes pertama dilaporkan semalam apabila seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada suspek yang meminta duit jaminan bagi melepaskan ibunya yang ditahan di lokap pukul 1.29 petang.

"Lelaki itu cuba memperdaya mangsa dengan meminta wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi mengeluarkan ibunya yang sedang ditahan di lokap atas kesalahan mengikut Seksyen 160; 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985.

"Mangsa diarahkan berjumpa suspek di Maybank Limbang namun wanita itu ke Balai Polis bagi mendapatkan kepastian dan ternyata, nama suspek tiada dalam rekod," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kes kedua pula berlaku tengah hari tadi apabila seorang penjawat awam ditipu RM9,000 selepas suspek meminta bayaran jaminan bagi melepaskan isteri dan adik mangsa yang kononnya ditahan di lokap.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan jumlah wang itu menerusi dua transaksi ke dalam akaun Maybank suspek.

"Selepas memasukkan duit ke dalam akaun bank itu, suspek tidak lagi menghubungi mangsa lantas merasakan sudah ditipu," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd. Bukhori menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik itu.

"Usaha memburu suspek sedang dipergiat dan polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini.Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," jelasnya. - UTUSAN ONLINE