Mahu dikenali sebagai Aril, dia antara individu yang mengalami kerugian sejumlah wang ekoran terperdaya dengan helah sindiket.

Aril berkata, dia menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank tempatan.

“Pegawai tersebut memaklumkan saya mempunyai tunggakan selama tiga bulan bagi pinjaman bernilai RM30,000. Saya menafikan dan memaklumkan tidak pernah membuat sebarang pinjaman. Pegawai itu mengandaikan kemungkinan butiran peribadi saya dieksploitasi pihak tertentu untuk membuat pinjaman tersebut.

“Kemudian pegawai itu memberitahu disebabkan banyak kes (penipuan) seperti itu dilaporkan, bank berkenaan bekerjasama dengan pihak polis mewujudkan talian khas untuk sebarang aduan. Pegawai itu terus sambungkan ke talian tersebut,” katanya.

Katanya, dia dihubungi seorang pegawai polis yang menggelar diri sebagai Sarjan Hassan dan mempercayai panggilan itu tertera di skrin telefon bimbit adalah nombor Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.

“Anggota polis itu memberitahu akan menyemak data peribadi dan merekod perbualan antara saya dengannya. Setelah semakan dibuat mendapati saya adalah individu dikehendaki polis berhubung jenayah penyelewengan wang berjumlah RM600,000 selain penyalahgunaan dadah bersama seorang individu bernama ‘Lim’ yang ditangkap.

“Daripada kes pinjaman bank terus bertukar kepada kes jenayah membuatkan saya sedikit gementar,” ujarnya.

Aril berkata, anggota polis itu turut mengesahkan waran tangkap dikeluarkan dan mengarahkan dia menyerah diri di Ibu pejabat Polis Pulau Pinang.

“Untuk memancing keyakinan saya, dia kemudian memindahkan panggilan kepada pegawai lain bernama Inspektor Zaki yang kononnya telah menyoal siasat Lim.

“Pegawai polis itu mengesahkan Lim mengaku bersalah menyimpan RM400,000 dan selebihnya berada dalam simpanan saya. Kemudian panggilan di pindah semula kepada Sarjan Hasan yang dengan nada keras mendesak saya mengakui kesalahan tersebut.

“Kemudian Sarjan Hassan memberi dua pilihan, sama ada saya menyerah diri atau membuat permohonan akaun simpanan sementara waktu dengan alasan untuk membolehkan nilai RM200,000 dipindahkan ke akaun tersebut sementara siasatan lanjut dibuat,” katanya.

Aril memaklumkan tidak memiliki wang tersebut tetapi mempunyai wang simpanan RM6,000 dalam akaun peribadi.

Katanya, sarjan tersebut mengarahkan dia memindahkan nilai tersebut terlebih dahulu. Aril akur dan bertindak seperti diarahkan.

“Setelah transaksi dibuat, perbualan tamat begitu sahaja. Saat itu, saya sedar telah ditipu.

“Rasa takut dan risau saya adalah punca kejayaan sindiket memperdaya. Tambahan pula ketika itu saya dalam proses mendapat kerja baru dan khuatir tidak diterima jika benar memiliki rekod jenayah walaupun tidak terlibat dalam apa jua salah laku.

“Setelah sedar ditipu, saya terus membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuh butiran untuk siasatan mereka,” katanya.