Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua suspek terdiri daripada 13 lelaki dan tiga perempuan berusia 21 hingga 59 tahun ditahan sekitar bandar raya ini bermula dari tarikh mangsa yang berusia 57 tahun itu dibebaskan.

"Siasatan mendapati lima daripada yang ditahan merupakan ahli kongsi gelap Gee Tiong Seng dan Ah Hor, seorang daripadanya merupakan ketua kongsi gelap Gee Tiong Seng.

"Kumpulan ini bergerak aktif di kawasan Tun Aminah di sini dan perjudian merupakan aktiviti utama mereka dan kumpulan ini telah bergerak aktif dalam kes jenayah pemerasan sejak 2010.

"Polis juga berjaya menemukan semula dan merampas wang tunai sebanyak RM92,567 dan Dollar Singapura 5,190 atau semuanya berjumlah RM108,188 selain merampas dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan penjenayah ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini sebentar tadi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati lima suspek itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, pihaknya masih memburu saki-baki anggota kumpulan itu.

Motif penculikan katanya, adalah untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang dan mangsa menjadi sasaran kerana dipercayai seorang ahli perniagaan yang mempunyai banyak wang.

Mangsa katanya, dikurung dalam sebuah rumah selama lima hari di daerah ini sebelum dibebaskan dan sepanjang tempoh itu tidak dipukul atau dicederakan dan hanya dikasari.

Jelasnya, mangsa diculik ketika sedang berjoging bersama-sama seorang rakannya di kawasan tangki air di Jalan Gelang Patah pada pukul 7 pagi, 27 Januari lalu oleh dua lelaki yang memakai topeng dan membawa senjata api.

Seorang daripada mereka katanya, melepaskan tembakan untuk menakutkan mangsa sebelum melarikannya dengan menggunakan sebuah kereta Honda City dengan nombor pendaftaran palsu.

Rakan mangsa yang tidak diapa-apakan kemudian membuat laporan polis sebelum suspek meminta wang tebusan RM300,000 dan Dollar Singapura 500,000 iaitu semuanya kira-kira RM1.805 juta daripada keluarga mangsa sebelum membayarnya lima hari kemudian. - UTUSAN ONLINE