Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali yang berkata, kebanyakan individu yang digelar ‘keldai dadah’ ini sebenarnya mengetahui barangan dibawa mereka merupakan bahan terlarang.

Ujarnya, bayaran yang diterima keldai dadah tersebut kebiasaannya hanya sekali sahaja berikutan perbuatan mereka itu dapat dihidu pihak berkuasa sama ada di pintu masuk ataupun keluar destinasi berkenaan.

“Kita dapat lihat sindiket pengedaran dadah semakin aktif merekrut rakyat Malaysia bukan sahaja daripada kalangan kakitangan penerbangan, malah pekerja biasa, penganggur dan juga pelajar.

“Untuk tahun lepas sahaja angka keldai dadah warga Malaysia yang ditahan di Hong Kong adalah sebanyak 23 orang dan ini adalah sangat membimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, berdasarkan maklumat diberikan keldai dadah yang tertangkap, mereka mengaku direkrut di negara ini sebelum dihantar menjalankan tugas.

Menurutnya, awal minggu lalu pihaknya telah menum­paskan satu sindiket merekrut rakyat Malaysia menjadi keldai dadah di Negeri Sembilan.

“Terdapat dua bentuk keldai dadah di negara ini yang pertama keldai dadah menyeludup dadah dari Malaysia ke luar negara. Kedua adalah keldai dadah diarahkan ke luar negara untuk mengambil dadah kemudian diseludup ke negara ketiga,” katanya jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan lapan rakyat Malaysia ditahan polis Korea selepas cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai kira-kira 44 bilion won (RM161.87 juta) ke negara itu.

Pada bulan lalu, dua rakyat Malaysia termasuk seorang kru kabin syarikat penerbangan Malindo Air ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Australia selepas disyaki menyeludup dadah ke negara itu.