Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, selain itu Malaysia juga boleh menggunakan saluran diplomasi yang terjalin sebelum ini untuk mengesan dan mendapatkan semua suspek terbabit.

Katanya, walau bagaimanapun, segala proses tersebut bergantung kepada kerajaan Korea Utara sama ada mahu memenuhi tuntutan tersebut atau tidak.

“Segala proses siasatan tidak akan mengganggu hubungan diplomasi antara dua negara kerana ia proses perundangan biasa tanpa melibatkan unsur politik. Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan ada undang-undang, mereka perlu mengikut segala proses perundangan negara ini.

“Apa yang menjadi masalah, pembunuhan berlaku di Malaysia dan mereka tidak faham prosedur serta tidak mahu memperbesarkan isu ini kerana ia melibatkan hubungan keluarga pemimpin tertinggi negara itu,” katanya ketika mengulas pengesahan tujuh suspek lelaki warga Korea Utara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.