Dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam hingga 11 malam itu, dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun turut ditahan manakala  sejumlah dadah disyaki jenis heroin, peralatan memproses dadah dan bahan kimia berjaya dirampas.

Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, sindiket itu berselindung di sebalik sebuah rumah kedai di Taman Merak Jaya di sini yang menjual alat tulis di tingkat bawah dengan kegiatan memproses dadah itu dilakukan di tingkat atas.

Tambahnya, polis turut memeriksa sebuah lori yang dipandu salah seorang suspek di belakang sebuah rumah di Taman Merak dan menjumpai sejumlah dadah heroin yang disimpan di dalam kenderaan itu.

"Susulan itu juga, kita menyerbu sebuah lagi rumah di Bandar Tasik Mutiara dan menahan seorang lelaki.

"Rampasan berkenaan melibatkan 5,647 gram (g) dadah disyaki heroin dan 7,725 g serbuk kafein," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal, di sini hari ini.

Narenasagaran berkata, dadah yang siap diproses bersama bahan kimia dan peralatan memproses dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM66,500 dan sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak kira-kira tujuh bulan lalu.

Selain itu, tambahnya, dalam operasi tersebut, polis turut menyita masing-masing sebuah kereta jenis BMW dan kereta Proton Persona, barang kemas bernilai RM20,700 dan wang tunai RM5,000.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - UTUSAN ONLINE