KUALA LUMPUR, 30 OGOS 2016 - Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan
Nadzri Siron

Tinjauan Utusan Malaysia Sabtu mendapati mereka tidak gentar dengan risiko yang bakal ditanggung akibat penggunaan lesen yang diperoleh secara tidak sah.

Menjawab persoalan tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, kesalahan menggunakan lesen palsu adalah sama dengan tiada lesen.

Beliau berkata demikian kerana lesen tersebut diperoleh secara tidak sah melalui sindiket tertentu dan butiran individu pula tidak terdapat dalam pangkalan data JPJ.

“Lesen sah yang dimiliki setiap pemandu mempunyai ciri-ciri keselamatan unik dan diketahui oleh pegawai penguat kuasa untuk menentukan sama ada sah ataupun palsu.

“Pemandu yang menggunakan lesen palsu akan dihadapkan ke mahkamah dan boleh didenda sehingga RM2,000.

“Sementara bagi sindiket yang menawarkan lesen tersebut, pihak kami akan membuat laporan kepada polis dan kita akan beri kerjasama sepenuhnya untuk membanteras kegiatan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam operasi khas motosikal di ibu kota baru-baru ini.

Berkenaan aktiviti sindiket pengeluar ‘lesen terbang’, Nadzri menolak pembabitan institut memandu dalam kegiatan tersebut.

Menurut beliau, sekiranya berlaku, pentauliahan institut memandu boleh ditarik balik, sekali gus menjejaskan perniagaan mereka.

“Tawaran dipaparkan dalam laman sosial juga boleh jadi satu bentuk penipuan untuk memperdaya mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu dengan segera.

“Setakat ini, saya belum terima laporan mengenai penglibatan institut memandu dalam kegiatan sindiket berkenaan.

“Walau bagaimanapun, saya pernah memecat tiga pegawai JPJ kerana cuba mengubah butiran lesen individu secara tidak sah,” tegasnya.

Turut mengulas kegiatan sindiket itu, Pengurus Operasi Institut Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL), Zaharah Hashim. Menurutnya, mustahil seseorang itu boleh memperbaharui ‘lesen terbang’.

“Permohonan lesen bermula dengan calon mendaftar di mana-mana institut memandu dan melalui proses silibus yang ditetapkan.

“Semua peringkat silibus dirakam melalui cap jari dan mesti dimasukkan ke dalam sistem berkomputer JPJ bagi pengeluaran lesen.

“Jadi, mustahil bagi sindiket mendakwa boleh menawarkan lesen yang boleh diperbaharui apabila tamat tempoh kerana butiran pemilik tiada dalam simpanan pihak JPJ,” ujarnya.