PROF. DR. ZURIATI AHMAD ZUKARNAIN
PROF. DR. ZURIATI AHMAD ZUKARNAIN

Lebih membimbangkan, hanya dengan teknik ringkas maklumat kad kredit dan debit sesiapa sahaja boleh dicuri melalui satu imbasan menggunakan telefon pintar.

Proses yang tidak lebih dari lima saat itu boleh dilakukan menggunakan kemudahan Near Field Communication (NFC) yang terdapat dalam telefon pintar atau gajet serta aplikasi bacaan kad kredit yang boleh dimuat turun secara percuma.

Ini adalah trend terkini penggodam yang akan mengaktifkan NFC dalam telefonnya sebelum mengimbas kad kredit dan debit milik orang lain khususnya di tempat awam.

Sebagai hasilnya, butiran kad kredit dan debit mangsa akan tertera di telefon penggodam sebelum disalahgunakan seperti membuat pembelian termasuk transaksi kewangan dalam talian.

Kebiasaannya, penggodam akan mensasarkan mangsa seperti individu yang sedang beratur untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) selain mereka yang sewenang-wenangnya menyerahkan kad kredit atau debit untuk tujuan pembayaran selepas makan di restoran.

Timbalan Dekan, Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain berkata, taktik itu amat berbahaya kerana risiko kecurian (data) boleh berlaku di mana-mana, bila-bila masa secara pantas, senyap dan mudah.

“Ini adalah rompakan digital yang berlaku pada jarak empat sentimeter. Pemegang kad yang dilengkapi teknologi payWave atau PayPass perlu berhati-hati apabila membuat pembayaran atau perpindahan wang menggunakan platform-platform ini di tempat awam.

“Dalam beberapa saat sahaja, data penting kecuali nombor nilai pengesahan kad (CVV) boleh dicuri tanpa disedari pemilik.

“Penggodam hanya aktifkan NFC dan aplikasi bacaan kad kredit ketika berada berdekatan sekali gus curi maklumat secara senyap,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Zuriati menambah, adalah amat penting bagi pemilik kad kredit atau debit mengambil langkah-langkah keselamatan ketika mahu membuat pembayaran atau perpindahan dana.

“Pengguna dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana individu tidak dikenali memegang kad debit atau kredit milik mereka kerana risiko kecurian (data) adalah amat tinggi. Sesiapa sahaja boleh menjadi penggodam.

“Pada masa yang sama, pemilik kad kredit atau debit perlu memastikan mereka menerima pengesahan dari pihak bank berdaftar setiap kali membuat pembayaran atau transaksi.

Cara ini membolehkan pengguna memantau aliran dan mengenal pasti sebarang bayaran atau pindahan wang yang meragukan,” jelasnya.