MOHD. KHALIL KADER
MOHD. KHALIL KADER

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, sebelum kejadian itu dipercayai terdapat satu kumpulan yang datang ke restoran tersebut dalam kea­daan mabuk.

Menurutnya, akibat makanan yang dipesan itu lambat sampai menyebabkan berlaku pergaduhan di restoran tersebut.

“Sehubungan itu seramai 13 individu termasuk warga Vietnam ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di restoran berkenaan, Ahad lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Video berdurasi empat minit 26 saat itu memaparkan insiden pergaduhan di sebuah kedai makan menyaksikan sekumpulan lelaki bertindak menyerang beberapa individu sehingga menyebabkan mangsa cedera dan berlumuran darah.

Menurut Mohd. Khalil, sejurus kejadian itu pihaknya menggerakkan pasukan siasatan untuk mengesan suspek berpandukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lokasi kejadian.

“Hasil siasatan, polis berjaya menahan sembilan lelaki dan lapan wanita termasuk pelaku utama bagi membantu siasatan hingga pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, mang­sa yang diserang sekumpulan suspek tersebut mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Pakar Puteri KPJ di sini.

Dalam pada itu beliau berkata, polis mendapat perintah tahanan reman kesemua suspek terlibat dalam membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan pergaduhan di tempat awam.

Menurutnya, empat lelaki warga tempatan direman sehingga esok dan Rabu ini manakala sembilan warga Vietnam termasuk lima wanita direman sehingga 18 Mac ini.