Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi tadi, mangsa, seorang lelaki Cina berusia lingkungan 34 tahun mengalami kecederaan di bahu sebelah kanan, cuping telinga sebelah kanan dan tangan kanan akibat terkena peluru.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Freddy Bian berkata, suspek tersebut telah menahan majikannya mengadu bahawa dia ada masalah dengan teman wanita lantas meminta membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa tidak mahu membantu kerana ia masalah peribadi suspek lantas beredar dari situ dengan kenderaannya.

"Suspek merasa marah terhadap majikannya kerana tidak mahu membantu lantas melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kereta mangsa dalam jarak lebih kurang lapan meter.

"Mangsa yang cedera terkena peluru itu terus memandu keretanya ke Hospital Kapit untuk mendapatkan rawatan sebelum dimaklumkan kejadian itu oleh pihak perubatan kepada polis kira-kira pukul 2 pagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Tambahnya, operasi mengesan terus digerakkan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kapit berjaya menangkap suspek yang bersembunyi di rumah kawannya di Flat Taman Exora, di sini sekitar pukul 3 pagi tadi. - UTUSAN ONLINE