Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa Cheong Ann Guey, 21, dari Mambau, Negeri Sembilan berjaya ditemukan oleh pasukan bomba berhampiran puncak bukit tersebut pada pukul 2 petang.


Menurutnya, mangsa yang mendaki bukit seorang diri bagaimanapun dalam keadaan lemah dan tubuhnya mengalami kesan calar selepas tersesat selama kira-kira 19 jam.


“Mangsa telah dibawa turun pada pukul 4.15 petang dan diberi rawatan awal oleh bomba di lokasi sebelum dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban,” katanya ketika dihubungi di sini. 


Beliau berkata, terdahulu pihaknya dihubungi mangsa yang merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia pada pukul 7.21 malam semalam dan memaklumkan dia gagal menemukan jalan keluar dari bukit setinggi 685 meter itu.


Ujarnya, operasi menyelamat itu melibatkan seramai 43 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan Nilai. - UTUSAN ONLINE