Serbuan kira-kira pukul 1.50 petang Jumaat lalu itu turut menahan 26 suspek termasuk dua lelaki Taiwan berusia 39 dan 47 tahun yang dipercayai dalang sindiket.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ruslan Hassan berkata, selain dua dalang, 24 lagi suspek yang ditahan ialah seorang lelaki dan wanita Taiwan, sembilan lelaki dan 12 wanita China serta seorang lelaki tempatan.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 51 tahun itu sedang leka membuat panggilan palsu dan tidak sempat melarikan diri.

“Dengan tertangkapnya ke­semua mereka, sebanyak 48 kes yang dilaporkan tahun lalu dan 52 kes yang direkodkan sejak Januari hingga April lepas berjaya diselesaikan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menyewa rumah itu sejak tiga bulan lalu untuk dijadikan pusat penipuan panggilan palsu dan tempat penginapan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen negeri di Bukit Beruang, di sini hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua set komputer riba, modem, 37 unit telefon bimbit dan talian tetap, satu fail, sebuah kereta jenama Toyata Alphard serta fail mengandungi skrip bagi tujuan penipuan.

Ruslan memberitahu, siasatan mendapati semua suspek masuk ke negara ini menggunakan pas pelawat.

Menurutnya, suspek menggunakan pelbagai kaedah antaranya dengan menghubungi mangsa dengan menawarkan hadiah ca­butan bertuah dan mangsa yang mahu menebus hadiah perlu memasukkan sejumlah wang sebagai bayaran cukai atau insu­rans ke dalam akaun bank pihak ketiga.

“Selain itu ada yang menya­mar sebagai pegawai polis atau mahkamah dan menghubungi mangsa memaklumkan mereka terlibat dalam kes kongsi gelap atau ah long kemudian meminta memindahkan wang ke akaun bank lain bagi mengelak harta disita,” katanya.

Tambah Ruslan, kesemua suspek direman sehingga 30 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati serta jangan mudah terpedaya dengan panggilan palsu selain tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, pasport dan akaun bank kepada individu yang tidak dikenali.