Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dari Padang Tengku, Lipis dekat sini terperdaya dengan sindiket berkenaan selepas dia didakwa mempunyai pinjaman peribadi berjumlah RM70,000.

Selain itu, katanya, mangsa berusia 57 tahun turut didakwa terlibat dengan kes pengedaran dadah dan pengubalan wang haram.

"Ketika berasa di rumahnya di Padang Tengku, mangsa menerima panggilan telefon bernombor 03-21766643 yang memperkenalkan diri sebagai Azrie Bin Azman yang bertugas di RHB Bank Cawangan Seremban Negeri Sembilan.

"Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan ansuran pinjaman peribadi selama tiga bulan berjumlah RM3,885 dan terlibat dalam kes pengedaran dadah serta pengubalan wang haram yang mana boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, suspek kemudian menyambungkan panggilan kepada seorang 'pegawai polis' yang kononnya sedang menyiasat kes berkenaan.

"Mangsa ditawarkan penyelesaian kes itu iaitu bayaran RM30,000 dan tanpa berfikir panjang mangsa menerima tawaran tersebut dan membuat pembayaran ke akaun RHB Bank bernombor 11233000203112 atas penama Mohammad Norfirdaus Abd. Aziz.

"Setelah selesai pemindahan itu, mangsa sekali lagi diarahkan oleh suspek untuk memindahkan wang sebanyak RM30,000 ke dalam akaun yang sama. Mangsa kemudian sedar bahawa dia ditipu," ujarnya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE