MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku pada 31 Ogos lalu selepas mangsa berusia 62 tahun dihubungi seorang wanita bernama Kartina Almirol yang mendakwa dari Public Bank Kuala Lumpur.

“Wanita itu mendakwa mangsa ada membuat pinjaman wang sebanyak RM70,000 dari Public Bank di Seremban, Negeri Sembilan dengan bayaran bulanan RM1,290 selama 60 bulan serta mempunyai tunggakan RM3,885.

“Mangsa menafikan dia mempunyai pinjaman di bank berkenaan sebelum wanita itu meminta dia membuat laporan di balai polis Seremban dalam tempoh dua jam jika tidak mahu disenaraihitamkan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, Kartina menyambungkan panggilan berkenaan ke ‘Balai Polis Seremban’ untuk mangsa membuat laporan sebelum dijawab oleh ‘Sarjan Lau’.

“Sarjan Lau mendakwa mangsa bersubahat dengan seorang pengurus bank di Kuantan bernama Reymond Lee dalam kegiatan pengubahan wang haram dan aktiviti penyeludupan dadah serta waran tangkap juga sudah dikeluarkan terhadapnya.

“Penggilan itu disambungkan pula kepada ‘Inspektor Tan’ dan mangsa diberi arahan supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara ini serta dikehendaki melaporkan segala pergerakan setiap dua jam kepadanya,” katanya.

Menurutnya, pada 3 September lalu, mangsa dihubungi sekali lagi oleh Inspektor Tan dan memintanya untuk memindahkan wang ke dalam dua akaun yang didakwa milik mahkamah untuk tujuan siasatan.

“Mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak RM49,000 ke dalam dua akaun yang diberikan oleh Inspektor Tan. Bagaimanapun selepas memasukkan wang itu, mangsa gagal menghubungi Inspektor Tan,” katanya.

Katanya, berasa curiga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan semalam. - UTUSAN ONLINE