Terdahulu, mangsa yang berumur 26 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Ang’ dan mendakwa kononnya dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan kes dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa kemudiannya diperdaya supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa termasuk ahli keluarga.

Menurutnya, terkejut dan terlalu takut menerima maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pindahan wang melalui online dari akaun simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan seperti yang diarahkan.

“Kesemua wang itu dipindahkan mangsa menerusi lima transaksi ke dalam dua akaun bank berlainan dalam tempoh seminggu.


“Mangsa turut dimaklumkan semua wang tersebut kononnya bagi tujuan siasatan dan akan dipindahkan kepada pihak Juru Audit Negara.

“Bagaimanapun, mangsa akhirnya tersedar telah terperangkap dengan sindiket penipuan itu dan membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket berkenaan yang masih aktif menipu.

Katanya, orang ramai tidak perlu panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya menghubungi polis atau organisasi terlibat untuk sebarang pengesahan.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - UTUSAN ONLINE