Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 22 Mac lalu, mangsa dihubungi seorang wanita yang mendakwa dari sebuah bank dan memaklumkannya mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM50,000.

Katanya, guru itu menafikannya dan panggilan berkenaan disambung kepada seorang suspek yang mendakwa sebagai ‘Inspektor Narita’ dan memaklumkan mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

“Inspektor Narita meminta butiran akaun milik mangsa beserta maklumat nombor pin dan nombor kad untuk membuat pengesahan akaun. Kemudian mangsa dimaklumkan untuk membuat bayaran RM196,000 bagi tujuan ikat jamin kes berkenaan.

“Mangsa selepas itu memasukkan wang dari dua akaun miliknya ke akaun yang diberikan kepada suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, pada Ahad lalu, sewaktu membuat semakan akaun bank miliknya, mangsa mendapati wang RM90,810 telah tiada.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam. - UTUSAN ONLINE