Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun dihubungi seorang wanita dengan mengaku dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaklumkan kononnya dia tidak membayar GST serta terlibat beberapa kes jenayah lain.

A. Anbalagan
A. ANBALAGAN

Menurutnya, mangsa pada mulanya mengabaikan panggilan itu namun pada pukul 5.30 petang menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengaku sebagai ‘Sarjan Lim’.

Katanya, WhatsApp dari nombor 017-3971149 memaklumkan satu surat pembekuan aset atas nama jurutera itu sudah dikeluarkan menyebabkan mangsa menjadi panik.

“Bermula dari situ, suspek meminta nombor akaun mangsa serta kata laluan untuk memin­dahkan wang bagi mengelak da­ripada dibeku oleh Bank Negara sebelum sebanyak RM30,000 milik jurutera tersebut berjaya dipindahkan suspek ke satu akaun lain.

“Tidak lama selepas itu, mang­sa menerima satu lagi mesej melalui WhatsApp daripada suspek yang mendakwa kononnya Jabatan Audit Negara meminta dia memindahkan lagi RM30,000 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kerana terdapat masalah audit.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian memindahkan lagi RM10,000 ke satu lagi akaun seorang lelaki selepas di­arahkan kononnya bagi tujuan audit,” katanya kepada pembe­rita di sini hari ini.

Tambah Anbalagan, mangsa menyedari ditipu selepas dia gagal menghubungi semula ‘Sarjan Lim’ sebelum membuat laporan polis.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan supaya peka dengan penipuan yang dilakukan oleh sindiket Macau Scam dan berhati-hati dengan tidak menyerahkan sebarang maklumat bank kepada mana-mana pihak.