Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Aktiviti Pelombongan Zon Pahang (Op Lombong 3.0) selama empat hari bermula Selasa lalu itu dijalankan di enam kawasan hutan simpan seluas 160,000 hektar di sini dan Lipis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi berkenaan menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk membanteras aktiviti perlombongan haram yang merugikan serta menjejaskan hasil kerajaan negeri.

“Dalam operasi ini sahaja, kita merampas bahan mineral bernilai RM1.5 juta menyamai nilai tiga bulan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri. Jabatan Perhutanan juga menyita 34 jentera dan mesin pelbagai jenis, tiga buah lori serta sebuah pacuan empat roda.

“Operasi bersepadu ini akan diteruskan secara berkala dan diperluaskan ke seluruh negeri bagi membanteras aktiviti perlombongan haram yang diberi perhatian serius kerajaan negeri serta Jabatan Perhutanan,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis penutup Op Lombong 3.0 di Kompartmen 71, Hutan Simpan Tersang di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, 11 individu ditahan itu dibebaskan dengan bon jaminan manakala lima warganegara asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Beliau memberitahu, sebanyak sembilan kes akan diambil tindakan pihak berkuasa terbabit meliputi enam kes oleh Jabatan Perhutanan negeri dan Pejabat tanah dan Galian; Jabatan Imigresen serta Jabatan Mineral dan Geosains masing-masing satu kes.

Beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan perlombongan haram sebaliknya membuat permohonan bagi mendapatkan lesen cari gali serta melombong daripada kerajaan negeri.

“Pada masa ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan lesen cari gali dan melombong di kawasan seluas 55 hektar termasuk 12 hektar di Raub dan 16 hektar di Lipis,” katanya.