Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang bermula 9.30 malam tadi hingga 6.30 pagi itu berjaya menahan 290 warga asing terdiri daripada 281 lelaki dan sembilan orang wanita.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk proses dokumentasi, selepas pemeriksaan lanjut sebanyak 57 warga asing iaitu 54 lelaki dan tiga wanita ditahan atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal me­lebihi tempoh yang ditetapkan.

"Operasi ini dilancarkan bagi mengesan dan mengambil tindakan ke atas warga asing yang disyaki memiliki dokumen palsu, memiliki dokumen yang dilaporkan hilang dan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa khususnya kumpulan pengganas yang bergerak di Syria dan Iraq.

"Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP); Unit Pemusnah Bom (UPB); Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB); Jabatan Imigresen; Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, operasi yang dilaksanakan di Neo Cyber, Biz Avenue II dan Lingkaran Cyber Point Barat di sini itu menyaksikan warga Yemen antara individu yang paling ramai ditahan iaitu 50 orang diikuti Pakistan (32); Syria (32); Bangladesh (29); India (27); Nepal (22); Palestin (17); Sudan (10) dan pelbagai negara lain.

"Daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, sebanyak 98 orang merupakan penuntut Universiti Limkokwing serta beberapa universiti lain seperti Universiti Multimedia (MMU), Universiti UCSI; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Financial Trai­ning Management Services (FTMS) Global College.

"Operasi ini merupakan siri kedua selepas kami menggempur Masjid India pada Ahad lalu untuk mengesan warga asing yang terlibat dengan aktiviti keganasan. Pemeriksaan perlu dilakukan kerana kita bimbang sekiranya ada di antara mereka yang terbabit dengan gerakan tertentu," katanya.

Mengulas mengenai penglibatan pasukan dari AELB, Ayob Khan berkata, dalam operasi tersebut, pihak AELB telah membekalkan peralatan yang diperoleh daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memudahkan pegawai dan angggota bertugas mengesan bahan-bahan radio aktif.

"Operasi ini turut disertai Ketua Pengarah AELB, Hamrah Mohd. Ali bagi memantau keberkesanan penggunaan peralatan yang dibekalkan, peralatan tersebut penting kerana memudahkan pengesanan bahan-radio aktif termasuk bahan letupan yang menggunakan sinar gama dan neutron," katanya.